Friday, July 9, 2010

Holy Water


Suatu ketika dulu seorang kawan Muslim bertanya kepada saya "Kenapa holy water berwarna merah? Diperbuat dari apa?" Saya kata "holy water bukan berwarna merah. Hanya air biasa yang telah diberkati paderi". Saya pernah baca (di internet la) orang kata Holy water diperbuat daripada uri bayi.



Setelah belum setengah tahun saya Islam ada kawan Islam pernah kata dengan saya kalau orang Islam terminum/minum Holy water tidak akan dapat mengucap syahadah. Holy water dimasukkan dalam botol mineral water dan diberi percuma kepada orang Islam untuk murtadkan mereka. Saya masih kata "holy water hanya air biasa yang diberkati".

Sampai sekarang masih dapat baca tentang “kesaksian” anak paderi sabah yang masuk Islam dan berkata tentang Holy water dan memberitahu cara bagaimana dapat mengucap kembali syahadah setelah terminum Holy water iaitu dengan cepat2 meminum air dari 3 kolah masjid berbeza dan baca ayat2 Quran (Saya tak ingat ayat Quran apa).

Sepanjang saya hidup sebagai orang Kristian holy water sangat signifikan dalam agama Roman Catholic (RC) dan tidak pada agama Kristian lain. Saya baca saja bukan pengalaman pergi gereja lain, gereja seperti Anglican pun ada guna holy water tapi saya tak tahu penggunaan mereka. Agama di kampung saya pun hanya RC dan Sidang Injil Borneo (SIB). Saya pernah pergi gereja Methodist dan mereka tak menggunakan holy water dalam upacara sembahyang mereka.

Dalam sebuah rumah penganut RC, yang wajib ada (atau mungkin perlu cakap yang kebiasaan?) adalah bible, rosary, buku doa rosary, buku lagu rohani, salib, patung dan gambar Jesus dan Mary (Jarang simpan patung/gambar Joseph) dan holy water. Di rumah kami juga semua benda2 itu ada. Bila anak2 pergi jauh mak akan bertanya dah bawa bible? Dah bawa rosary ke? holy water kita dah habis alangkah baiknya kalau ada.



Fokus kepada kisah holy water,

Mak kata “tolong cari bekas untuk isi air. Hari ni father datang gereja, Holy water kita dah habis”. “Mana botol mineral water yang saya Nampak tu?” Di rumah kami dulu nak dapatkan bekas air pun susah. Mak dah dapatkan botol, mak pun isikan botol tu dengan air paip di sinki dapur. Air itulah yang diberkati oleh paderi dalam nama (dengan buat tanda salib) “……………….” , trinity. Maka air itulah yang jadi Holy water. Asalnya air paip yang diberkati oleh paderi .

Holy water digunakan untuk memberkati ketika upacara sembahyang, memberkati tempat atau benda. Ketika membuat rumah baru orang akan menjemput paderi untuk berkati tapak dan paderi menggunakan holy water untuk berkati.

Dalam upacara sembahyang, sebelum dimulakan upacara iaitu ketika paderi masuk (Paderi dari luar masuk ke dalam gereja) melalui orang ramai (dipanggil umat) dia akan “merenjis “ (sebenarnya saya tak tahu nak guna perkataan apa. Merenjis? Memercikkan? Pasti bukan menyiram) holy water dan sesiapa yang terkena dengan “renjisan” akan membuat tanda salib. Holy water diletakkan di pintu masuk gereja, biasanya dalam cengkerang tiram besar. Ketika nak masuk dan sebelum keluar gereja orang akan membuat tanda salib dengan holy water.

Sekarang semua orang di kampung saya sudah beragama. Dulu ketika sudah ramai yang masuk Kristian, orang2 tua yang kuat dengan “kepercayaan tahyul” saja belum masuk Kristian. Mereka menyimpan azimat/tangkal. Apabila mereka menerima Kristian, azimat/tangkal mereka dibakar.

Adakah holy water itu air jampi? Adakah holy water itu ada kuasa? Adakah holy water itu dibuat dari uri bayi? Adakah holy water itu berwarna merah?

Holy water yang diletakkan dekat pintu masuk gereja itu sekiranya tidak ditukar menjadi tempat pembiakan nyamuk. Itulah yang aku perhatikan dengan mata aku sendiri. Kelihatan banyak larva nyamuk berenang-renang.




Ini umum:
“Kebenaran tetap kebenaran. Kebenaran pasti menang. Namun bagaimanakah menerima kebenaran andai diseliti atau disaluti penipuan"

No comments: